Tuesday, November 10, 2009

PANDUAN MENANAM CIKU

Nama Saintifik : Manikara achras (Mill Fosberg
Nama Lain : Achras Sapota L.
Nama Biasa : Ciku, Sawo
Keluarga : Sapotaceace


Buah tropika berasal dari Amerika Tengah. Ciku mengandungi kandungan karbohidrat, kalori yang tinggi dan kaya dengan zat-zat makanan (air, protin, lemak serabut, abu, kalsium, fosferos, besi, natrium, kalium, karotena, vitamin B1, B2, B3, C.

Pokok
Pokok bersaiz sederhana besar, berbentuk piramid semasa kecil, rendang serta membulat apabila matang. Ketinggian boleh mencapai sehingga lebih 10 meter. Kada pembesaran pokok agak perlahan tetapi boleh hidup lama dengan pengeluaran hasil yang memuaskan. Mempunyai akar tunjang jika bahan tanaman ditanam daripada biji benih. Anak pokok yang ditanam melalui pembiakan tut tidak mempunyai akar tunjang.

Buah
Berbentuk bulat atau bujur bergantung pada jenis klon. Saiz buah matang adalah antara 5-6 cm panjang dan lebar 4-6 cm. Purata berat sebiji di antara 80 gm - 120 gm. Kulit buah nipis, berkeadaan kesat, bersisik dan berwarna perang. Buah yang belum masak berkeadaan keras, bergetah dan rasanya kelat disebabkan oleh kandungan tannin. Buah yang matang dipetik dan perlu diperam selama 3-5 hari supaya masak. Buah yang baru dipetik akan mengeluarkan getah berwarna putih. Buah yang cukup masak berkulit perang kemerahan, berbau harum dan rasanya manis.


Varieti-varieti Ciku

CIKU JANTUNG (C62)

Klon ini dikenali dengan nama Jantung. Buah bersaiz besar dengan ukuran purata 6.6 cm panjang dan 5.2 cm lebar. Purata berat buah ialah 110 gm sebiji. Buah berbentuk bujur dan runcing di hujung, seakan-akan bentuk jantung dan warna kulit perang kemerahan. Isinya berwarna perang kemerahan, manis, iranya halus dan tidak berpasir. Klon ini berasal dari Masjid Tanah, Melaka dan didaftarkan pada 7 Julai 1973. Banyak ditanam secara komersial.


CIKU SUBANG (C63)

Klon ini popular dengan gelaran Ciku Subang. Ia berasal dari Subang New Village, Selangor dan didaftarkan pada 7 September 1989. Buah berbentuk bujur panjang iaitu meruncing di hujung dan pangkal buah dan warna kulit perang. Saiz buah sederhana besar (40-120 gm sebiji). Ukuran buah ialah 6.2-8.0 cm panjang dan 3.1 hingga 5.2 cm lebar. Isinya manis, berair, bertekstur halus dan tidak berpasir. Bijinya kecil dan bilangan purata biji bagi sebuah ciku biasanya satu.


CIKU CM 19

Ciku atau Manikara achras adalah tanaman tropika yang tidak bermusim tetapi berbuah lebat dua kali setahun. Tanaman ini diusahakan secara tradisional dan kecil-kecilan di negara kita. Keluasan tanaman ini tidak bertambah dari tahun 1984 sehingga kini iaitu di sekitar 1,000 -1,300 hektar. Beberapa faktor menjadi penghalang untuk industri ini berkembang antara ialah pengurusan tanaman yang tidak sempurna dan kekurangan klon-klon yang superior.

Bagi membantu petani menambah pendapatan mereka yang mengusahakan tanaman ciku, MARDI telah menjalankan kajian untuk mempertingkatkan penghasilan dan mutu tanaman ini. Kajian bermula pada tahun 1988 meningkatkan aktiviti pengumpulan janaplasma ciku dari dalam dan luar negara seperti Florida, Filipina, Thailand dan Indonesia. Lebih daripada 50 jenis ciku telah berjaya dikumpul dan dinilai.

Hasil daripada kajian yang dijalankan selama lebih satu dekat dengan menelan belanja hampir RM100,000, maka klon ciku CM 19 telah berjaya dihasilkan sebagai klon alternatif. Dengan penemuan klon CM 19 ini banyak permasalahan dalam tanaman ciku dapat diatasi.

Kelebihan CM 19

Anak benih CM 19 lebih mantap. Pada masa lalu para penanam ciku menghadapi masalah penjagaan tanaman ini terutamanya pada tiga tahun yang pertama selepas diubah ke ladang. Anak benih klon-klon komersial seperti Jantung dan Subang, kurang lasak dan memerlukan penjagaan yang rapi. Anak benih CM 19 didapati lebih mantap dan tidak memerlukan pemerhatian yang terlalu rapi.

Pokok CM 19 bebas daripada gejala batang berbonggol

Kejadian gejala batang berbonggol atau 'gall' sering berlaku kepada pokok pokok ciku selepas berumur 3 tahun di ladang. Kadar serangan biasanya hampir 70 peratus daripada jumlah pokok dan ini mengakibatkan para penanam ciku patah semangat untuk mempertingkatkan usaha mereka. Pokok CM 19 bebar daripada kejadian batang berbonggol yang sering menyerang klon-klon komersial lain.

Bentuk pokok

Kadar tumbesaran batang CM 19 adalah lebih tinggi daripada klon biasa tetapi secara relatif kanopinya adalah lebih kecil dan sesuai untuk sistem tanaman padat. Dengan mengamalkan jarak tanaman 18' x 18' jumlah pokok yang boleh ditanam adalah sebanyak 336 pokok sehektar. Manakala sistem tanaman biasanya hanya 172 pokok sahaja sehektar.

Pembuahan

C 19 lazimnya mengeluarkan sebiji buah pada setiap tangkai. Ciri ini penting kerana dapat mengurangkan serangan ulat penggorek buah dan kulapuk hitam. Penjarangan buah tidak perlu dilakukan dan masalah penuaian yang timbul daripada peringkat kematangan buah yang berbeza pada satu tangkai yang biasa terdapat pada klon-klon komersial dapat diatasi.

Bentuk dan saiz buah

Bentuk buah CM 19 adalah simetri dengan bahu buah yang rata. Ini memudahkan pembungkusan dan mengurangkan kecederaan semasa pengendalian dan pengangkutan. Saiz buah yang hampir tiga kali ganda berbanding klon-klon komersial (Jantung dan Subang) menjadikan CM 19 kelihatan eksotik.

Buah CM 19

Buah CM 19 yang cukup masak boleh dimakan dengan tidak perlu dikupas kulitnya kerana kulitnya tidak berasa kelat. Isi CM 19 lebih halus daripada Jantung tetapi kasar sedikit daripada Subang. Manisnya hampir sama dengan Jantung dan Subang. Dengan kepadatan tanaman 336 pokok sehektar, yang berumur 5-6 tahun dapat mengeluarkan hasil 7 tan metrik setahun.


Penanaman Ciku:

Ciku merupakan tanaman yang lasak dan mudah tumbuh di kebanyakan kawasan tropika. Walau bagaimanapun tanaman ini boleh hidup dengan subur dan mengeluarkan hasil yang opstimum dalam keadaan tertentu. Kawasan yang mendapat hujan antara 125-250 cm setahun adalah sangat sesuai bagi pertumbesaran pokok ciku. Suhu yang diperlukan bagi tanaman ini adalah antara 11-34oC. Ciku juga boleh hidup di kebanyakan jenis tanah yang terdapat di Malaysia seperti mineral, asid salfat dan gambut. Penanaman secara ladang adalah dinasihatkan agar mendapatkan kawasan yang rata atau kurang kecerunan melebihi 25-30 darjah. Sekiranya terdapat kawasan yang mengalami air bertakung, perparitan perlulah dibuat untuk mengelakkan pertumbuhan pokok tersebut.

Penyediaan Benih:

Pokok ciku boleh dibiakkan dengan kaedah tut dan kaedah cantuman baji. Kaedah tut biasa digunakan kerana tekniknya mudah dan pokoknya cepat berbuah. Kelemahan kaedah ini adalah bahan tanaman daripada satu pokok induk tidak banyak diperolehi. Pokok tut mudah tumbang terutama jika ditanam di kawasan yang mengalami angin kencang. Lagi satu cara menanam ialah dengan teknik keratan batang.


Cara-cara membuat tut dan Kaedah Cantuman Baji Ciku


Penanaman

Tanah yang telah dibersihkan perlu dibuat pancang penanda lubang tanaman. Jarak tanaman yang disyorkan adalah 18' x 18' bagi penanaman padat. Jarak tanaman ini akan menghasilkan 336 pokok bagi satu hektar. Kaedah lama hanya dapat menghasilkan 172 pokok sahaja. Dengan mengamalkan kaedah penanaman padat ini, pengeluaran hasil dapat ditingkatkan kepada dua kali ganda. Penanaman sebaiknya dilakukan dalam musim hujan supaya meringankan kerja-kerja penyiraman.

Pengairan

Walaupun pokok ciku sejenis tanaman yang lasak, sistem pengairan perlu dibuat untuk menjamin pertumbuhan anak pokok tidak terbantut. Sistem pengairan yang disyorkan ialah sistem pengairan titis. Pemasangan saluran PVC berukuran 2 inci daripada sumber air merentasi tengah ladang dan disambungkan kepada getah saliran titis yang direntang sepanjang baris tanaman. Muncung saliran titis dipasang pada saluran berhampiran pangkal setiap anak pokok. Bagi menjimatkan belanja tenaga atau bahan api, adalah disyorkan supaya sumber air dapat disalirkan daripada tangki takungan air yang berada di tempat tinggi. Kaedah ini membolehkan air disalirkan pada setiap masa dengan tekanan graviti.

Pembajaan

Pembajaan perlu dilakukan mengikut jadual. Baja dagangan 15:15:15 disyorkan pada tahun pertama dan kedua. Pada tahun-tahun yang berikutnya baja dagangan ditukarkan kepada 12:12:17:2. Jadual dan kadar pembajaan yang dicadangkan adalah seperti berikut:-

Umur Pokok
(tahun) Jenis Baja
(N:P:K:TE) Kadar Baja
(kg / pokok) Kekerapan
(Bil / Tahun)
1 15:15:15 0.2 4
2 15:15:15 0.3 4
3 12:12:17:2 0.5 3
4 12:12:17:2 1.0 3
5 12:12:17:2 1.5 3
6-7 12:12:17:2 2.0 3
8-10 12:12:17:2 2.5 3
10 dan ke atas 12:12:17:2 3.0 3


Pemangkasan

Antara faktor utama penanaman ciku kurang berjaya di negara ini adalah disebabkan oleh sikap para pekebun yang kurang memberi penjagaan dan amalan agronomi yang kurang sempurna terutamanya tentang amalan pemangkasan. Tanaman ciku memerlukan dua jenis pemangkasan iaitu pemangkasan berbentuk di peringkat awal dan pemangkasan penyelenggaraan.

Pemangkasan berbentuk

Pemangkasan berbentuk ialah pemangkasan di peringkat awal sewaktu pokok berumur kurang daripada tiga tahun. Pemangkasan ini perlu dilakukan untuk mendapatkan bentuk pokok yang seragam dan ketinggian yang tidak melebihi 4.5 meter. Pemangkasan berbentuk bagi pokok CM 19 lebih mudah kerana secara relitif kanopinya tidak sebesar berbanding dengan ciku klon lain.

Pemangkasan penyelenggaraan

Pemangkasan penyelenggaraan adalah amalan rutin yang perlu dilakukan setiap tiga atau empat bulan sekali. Pemangkasan ini dilakukan untuk menjarangkan dahan, ranting supaya pokok tidak terlalu rimbun dan bahagian dalam pokok lebih terdedah kepada cahaya matahari serta peredaran udara. Keadaan pokok seperti ini dapat mengurangkan serangan musuh perosak dan penyakit kulat. Selain menjarangkan dahan dan ranting, pemangkasan penyelenggaraan juga dilakukan untuk membuang dahan atau ranting yang rosak dan berpenyakit. (dipetik dari majalah Wawasan Pertanian Bil. 16/2002).

Sila lihat panduan pemangkasan pokok

Kawalan Rumpai

Kawalan rumpai dilakukan dengan manual (menggunakan cangkul, tajak atau mesin pemotong rumput) atau racun rumpai. Rumpai juga boleh dikawal dengan menutup kawasan keliling pokok ciku dengan sungkupan yang terdiri dari lalang, rumput kering atau jerami padi. Bagi pokok ciku matang rumpai dikawal dengan menyembur paraquat (1.0 kg/ha) atau glufosinate - ammonium (0.5 kg/ha) dan gunakan alat penyembur bertudung bagi mengelakkan tempias dari terkena tanaman.


KAEDAH MUDAH MEMBIAK POKOK CIKU

Teknik Keratan Batang:
(Sumber: Agromedia Bil. 4, 1998)

Dengan teknik ini, keratan kayu muda atau batang perang (lebih tua) dengan garis pusat 6-8 mm diambil daripada pucuk terminal pokok baka yang sihat. Panjang keratan kira-kira 12-24 cm dan mempunyai 4-15 helai daun di bahagian atas keratan. Daun-daun di bahagian bawah dibuang bagi mengurangkan pepeluhan dan keperluan ruang dalam dulang pembiakan. Pangkal keratan ini dibelah sedikit sebelum dicelup ke dalam larutan hormon pengakaran IBA (asid butirik indol) pada kepekatan 10,000 bpj selama 5 saat. Keratan ini kemudiannya ditanam ke dalam medium pengakaran yang terdiri daripada satu bahagian enapsemar kelapa sawit (POMS) dan empat bahagian pasir. Dulang plastik berlubang yang mengisi campuran medium ini diletakkan di dalam rumah semaian plastik berkabus. Keratan ini mula berakar selepas 3-4 bulan.

Keratan kayu muda biasanya cepat mengeluarkan akar berbanding dengan keratan batang perang. Pada umumnya, pengakaran bagi kultivar Jantung dan Subang ialah 60-90%. Penyiraman air yang berlebihan perlu dielakkan bagi mendapatkan pengakaran yang baik. Pastikan medium pengakaran tidak digenangi air.

Penjagaan Keratan Berakar

Keratan batang ciku memerlukan masa selama 4 bulan bagi mengeluarkan akar yang cukup supaya mudah dialih ke dalam polibeg (18 cm x 23 cm). Polibeg ini mengandungi campuran sekam padi + tanah atau POMS + tanah (1:4). Selepas keratan dialihkan ke dalam polibeg, polibeg ini diletakkan semula di dalam rumah semaian plastik berkabus. Selepas 2-4 minggu, keratan dalam polibeg dikeluarkan dari rumah semaian dan diletakkan di tempat teduh yang terbuka. Keratan ini sedia ditanam di ladang dalam masa setahun bergantung pada saiznya.

Pengakaran Keratan Terus Didalam Polibeg

Keratan ciku juga boleh ditanam terus ke dalam polibeg (15 cm x 23 cm) yang mengandungi campuran POMS dan tanah (1:4). Polibeg ini diletakkan di dalam rumah semaian plastik berkabus selama 4 bulan. Pengakaran terus dapat mengurangkan kejutan terhadap pengalihan (gangguan pada akar), meningkatkan potensi pertumbuhan dan mengurangkan pengendalian. Kaedah ini hanya disyorkan untuk kultivar yang mempunyai peratus pengakaran yang tinggi. Namun, ia memerlukan ruang yang lebih luas. (Sumber: Agromedia Bil. 4, 1998)


PEROSAK TANAMAN CIKU

Serangga perosak perlu dikawal bagi mendapatkan hasil yang tinggi. Serangga perosak seperti ulat pengorek buah, lalat buah, kumbang pemakan daun, pelombong daun, koya dan ulat pelipat pucuk dikenalpasti menyerang tanaman ciku.

Kumbang Kaboi (Apogonia spp., Adoretus spp.)
Kumbang memakan daun dan meninggalkan kesan yang bergerigi. Sebur dengan racun serangga seperti cypermethrin.


Lalat Buah (Bactrocera spp.)
Menyerang buah matang. Lalat betina mencucuk permukaan buah untuk bertelur. Berenga yang menetas mengorek dan memakan isi buah. Buah menjadi busuk dan berair. Kutip buah gugur dan busuk dan musnahkan. Gunakan perangkap buah bersama bahan penarik seperti methyl-eugenol dicampur malathion.


Pengorek Buah (ANephopterix pirates)
Larva mengorek dan merosakkan isi buah. Terdapat fras berhampiran lubang yang dikorek. Petik dan kumpul buah yang diserang dalam karung plastik dan tanam ke dalam tanah.


Ulat Pelipat Pucuk (Banisia myrsusalis)
Larva yang menetas dan tinggal di dalam daun yang dilipat memakan epidermis daun. Kutip larva dan musnah.


Ulat Pelombong Daun (Acrocercops spp)
Larva mengorek bahagian bawah eipdermis daun, membentuk terowong. Daun menjadi kering dan mati. Guna perangkap pelekat kuning/biru.


Koya (Phaenococcus spp.)
Dewasa menghisap cairan sel daun dan mengeluarkan manisan. Manisan ini menyebabkan serangan kulat kulapok berdebu. Sembur dengan minyak putih.

Tindakan-tindakan berikut perlu diambil:-

Kutip buah gugur dan busuk serta musnahkan.

Gunakan perangkap buah bersama bahan penarik seperti methyl eugenol + malathion.

Kutip larva dan musnahkan.

Sembur minyak putih dengan kadar 0.1% b.a.


PENYAKIT TANAMAN CIKU

Antara jenis penyakit yang menyerang tanaman ini ialah penyakit cendawan angin, jelaga hitam dan penyakit puru.

Jenis serangga Bahagian diserang/simptom Syor kawalan
Cendawan angin
(corticum salmonicolor) Menyerang bahagian dahan, ranting dan bahagian batang berhampiran dengan dahan. Di peringkat awal, maisilium merah jambu kelihatan di celah-celah bahagian kulit, batang dan daun. Di peringkat serius, penyakit ini akan melingkari keseluruhan batang atau dahan dan akhirnya mati. Cantas ranting, dahan kecil yang diserang. Sapukan dengan racun kupram pada batang atau dahan besar yang diserang di mana peringkat serangan kurang dari separuh lilitan.

Jelaga Hitam (Aithaloderma setosum; juga disebabkan oleh kulat lain)
Serangan berlaku disebabkan kehadiran manisan yang dikeluarkan oleh serangga jenis kutu daun, teritip dan koya. Serangan berlaku di permukaan daun, buah, ranting dan dahan. Kawal serangga yang mengeluarkan manisan.


Penyakit Puru (dikaitkan dengan bakteria Agrobacterium sp.) Menyerang bahagian dahan dan pucuk di mana tisu menjadi bengkak dan berpuru. Cantas bahagian yang diserang dan musnahkan.



INDEKS KEMATANGAN DAN PENUAIAN CIKU

Buah ciku mengambil masa yang lama untuk mencapai peringkat kematangan. Ciku varieti Jantung mencapai kematangan dalam masa 6-8 bulan dari tempoh bunga kembang. Sementara ciku jenis Subang dan CM19 (ciku Mega) sesuai dipetik kira-kira 7-8 bulan selepas bunga kembang. Oleh sebab buah ciku pada pelbagai peringkat kematangan boleh didapati dalam satu pokok adalah sukar untuk menentukan masa penuaian mengikut umur buah. Kebanyakan penanam ciku di Malaysia menggunakan beberapa sifat luaran buah sebagai panduan untuk menganggarkan peringkat kematangan semasa kerja memetik. Antara sifat-sifat luaran yang digunakan ialah:-

-
warna kulit yang hijau kekuningan atau coklat kekuningan apabila digosok atau diguris.
-

bahan bersisik berwarna coklat di permukaan buah kian berkurangan dengan meningkatnya kematangan
-
kulit buah yang terlalu matang berwarna coklat kekuningan seperti ubi kentang
- aliran getah daripada buah berkurangan
-
tangkai buah yang cukup matang mudah dipisahkan daripada tampuknya.
Warna Kematangan Buah Ciku


Gambar: Atas (buah Ciku Jantung) dan
Kanan (Subang) yang telah matang
Bawah: Pada indeks 3,4,5 akan masak sempurna
selepas diperam. Buah boleh dipetik seawal indeks 2



Buah ciku seelok-eloknya dipetik dengan tangan. Bagi pokok yang agak tinggi, pemetikan buah dilakukan dengan cara memanjat pokok atau menggunakan tangga atau galah. Galah yang mempunyai jaring di hujung adalah sesuai digunakan.. Buah yang baru dipetik, seelok-eloknya disusun di atas hamparan guni dengan bahagian tangkainya menghala ke bawah. Keadaan ini membolehkan getahnya meleleh ke hamparan guni tanpa mengotorkan buah. Pembasuhan secepat mungkin selepas penuaian juga dapat membantu membersihkan buah ciku daripada pencemaran getah.

PENGENDALIAN PASCATUAI

Pengendalian di ladang

Buah yang dipetik, kemudiannya dikumpulkan di atas rumput atau guni sebelum dimasukkan ke dalam bakul plastik, bertujuan untuk menyerap dan mengeringkan lelehan getah pada buah ciku. Lelehan getah yang banyak mencacatkan kualiti buah ciku. Selepas kerja memetik selesai, buah yang telah dikumpul dipindahkan ke dalam bekas yang dialas dengan daun pisang atau kertas. Dari dusun buah tersebut terus dipindahkan ke atas kenderaan pengangkutan untuk dihantar ke pusat pengumpulan.

Di pusat pengumpulan buah ciku dibersihkan, sama ada:-

dibasuh dengan air sambil menggosokkan perlahan-lahan dengan menggunakan bahan yang lembut, kemudian dikeringkan.

digosok dengan kain yang lembab dan lembut.

Penyimpanan hasil

Ciku dikelaskan sebagai buah klimeterik dimana kadar pernafasan buah dan pengeluaran etilena meningkat secara mendadak apabila buah mulai menjalani proses pemasakan. Ciku yang baru dipetik (indeks kematangan 2-4) boleh disimpan 7-8 hari pada suhu biasa. Tempoh penyimpanan boleh dilanjutkan sehingga 1-2 minggu bagi ciku Subang dan 2-3 minggu bagi ciku Jantung pada suhu 13o-15oC. Sebelum disimpan, ciku dibersihkan dan diasingkan mengikut peringkat kematangan indek buah ciku.

Penggredan

Biasanya buah yang beratnya 100 gm atau lebih sebiji dianggap Kelas A dan kurang daripada 100 gm atau lebih sebiji dianggap Kelas A dan kurang daripada 100 gm sebiji dimasukkan kelas B.

Pembungkusan dan pengangkutan

Untuk penghantaran di dalam negeri dan Singapura, buah ciku boleh diisi di dalam bakul plastik atau kotak. Untuk tujuan pengekspotan buah ciku ke negara-negara tertentu yang mempunyai daya belian yang tinggi, ciri-ciri utama bekas pengisi seperti ruang pengudaraan yang mencukupi, lekok tidak mencederakan buah, penjimatan ruang, mudah dikendalikan dan kos perlu diberi perhatian.

Pemeraman

Buah yang cukup matang (indeks 4 dan 5) selepas dipetik akan masak 3-5 hari pada suhu biasa. Buah yang dipetik pada indeks 2 dan 3 kadangkala tidak dapat masak dengan sempurna atau seragam sekiranya buah tersebut tidak diaruh. Cara biasa untuk mengaruh buah ciku ialah dengan menggunakan kalsium karbaid. Kadar penggunaan kalsium karbaid ialah 20 gm kalsium karbaid bagi setiap satu kilogram berat buah. Cara penggunaannya dengan dengan memasukkan buah ke dalam kotak atau bakul bersama kalsium karbaid, kemudian ditutup kotak tersebut dengan guni atau suratkhabar dan dibiarkan selama 24 jam. Bekas tadi dibuka, buah akan masak dalam 2-3 hari kemudiannya. Kalsium karbaid hendaklah dibungkus dengan kain atau kertas sebelum diletakkan di tengah-tengah di sebelah bawah bekas.



Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA

No comments:

Post a Comment